Pasti ramai yang beremosi menonton cerekarama baru-baru ni yang bertajuk "Perempuan Neraka".. Agak kejam gak tajuk tu. Agaknya direktor tak sempat tukar hehe.. Ada satu pertanyaan kepada ku tentang bab citer ni yang membuatkan aku search kat internet mengenai kaum kaum hawa ni yang bergelar isteri. Aku jumpa satu site ni aku copy paste. Nak baca ni mmg kena kuat iman kerana panjang berjela2..
Fenomena isteri meleteri suami atau dengan kata
lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi
kebanyakan pasangan dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun
merasa bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki atau
sesiapa sahaja lagaknya.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.
Sebenarnya keadaan ini akan menjadi model yang
tidak baik terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu
generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang
negatif dalam kehidupan berkeluarga.
Terdapat banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis
Rasulullah SAW yang menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama
mana isteri tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah
sabda Rasulullah SAW: “Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya
sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada
suaminya.” (HR Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.:
“Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak
ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya.” (HR Al-Bazzar dan
Al-Hakim)
Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan
daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah
SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan
menghadap Tuan, bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan
peperangan kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas
lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka dibunuh
mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan kami kaum
perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami dapat daripada
perbuatan tersebut?”
Rasulullah SAW bersabda: “Anda sampaikan kepada
perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui
hak-hak suami itu sama dengan pahala berperang dengan musuh- musuh Islam di
medan peperangan, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang
menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).
Hadis-hadis di atas menerangkan betapa memelihara
dan menghormati hak suami serta ketaatan isteri terhadap suami amat
dititikberatkan oleh agama Islam. Hatta jika suami itu berkedudukan rendah
berbanding dengan isteri, umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula
guru, doktor dan seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai
pemimpin atau ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.
Oleh yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan
bahawa dengan kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati
seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua
dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam,
sebagaimana firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi
kaum wanita.” (QS An-Nisa’: 34)
Bagi isteri yang tidak mentaati atau enggan
menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima
balasan di akhirat kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah
SAW ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan
dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.
Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w.
dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku
mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa
yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai Ali, pada
malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku
diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana
begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w.
bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW
bersabda: “Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya,
sedang api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat
seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak
kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua kakinya
dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh badanya lalu
dituangkan air panas pada lehernya……”
Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan
kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun
perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam
lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara perempuan
yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya adalah
disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut) daripada lelaki lain. Adapun
perempuan yang tergantung dengan dua kakinya itu adalah disebabkan dia keluar
rumah tanpa izin suaminya….”
Sungguh amat dahsyat seksaan yang akan diterima,
jika isteri mengabaikan hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi
menyakiti hatinya.
Sebenarnya bukan tidak boleh para isteri menegur
suami, tetapi ia memerlukan masa yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika
keadaan mengizinkan. Bukan dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang
berlaku hari ini ialah adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar
dan mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga
kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.
Lebih dahsyat dan buruk lagi apabila isteri
membanding-bandingkan suaminya dengan suami orang lain yang mampu memberikan
permintaan isterinya, sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa
rendahnya martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan
ungkapan-ungkapan sedemikian ?
Sebenarnya bukan tidak boleh sama sekali meminta
sesuatu daripada suami, tetapi janganlah sampai membebankan mereka. Apalah
gunanya, jika suami berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat
isteri. Mintalah mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’
atau merasai cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang
sedemikian akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi
isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak akan
memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya
Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada
suaminya." (HR
An-Nasa’i)
Islam juga menyarankan supaya para isteri melakukan
kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga
anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan
tabah. Mungkin bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi
dalam situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia
bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar jika kita
menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.
Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda
kesayangan Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin
hariannya sebagai seorang suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari,
Fatimah telah meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW
dan meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang
sebagai pembantu rumah mereka.
Rasulullah SAW bagaimanapun tidak dapat
memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk
wanita-wanita itu tidak menjadi milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan
kaum Muslimin. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi
miliknya.
Permintaan Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan
kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan
oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang
perlu dilaksanakannya.
Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi
rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Ali dan
Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih
baik daripada apa yang kamu minta pada siang hari tadi?”
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut
sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah SAW menyatakan
kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan
Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum tidurnya.
Semenjak itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah
SAW telah menjadi amalannya dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak
lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang
berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.
Apa yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian
besar keluarga mempunyai pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan
semua kerja-kerja rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya.
Tanpa pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang
tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti jawapannya
mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut terutamanya bagi
wanita yang berkerjaya.
Adakah jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar,
selaku isteri, ibu dan juga wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan
bijaksana dalam mengatur dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati
betapa ruginya selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah
ditangani oleh pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika kerja-kerja tersebut
dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan mudah saja mereka mendapat
ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.
Bagi para suami pula, sifat tolak ansur dan saling
bekerjasama amat diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki
tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami.
Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu kerja-kerja di
rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?
Keharmonian rumah tangga akan terbentuk jika suami
dan isteri saling faham memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam
menyelesaikan masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga
itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam.
huhuhuhu... panjangnyaaaaaa... aku baca skip skip... tp rasanya faham kot apa yg nak disampaikan... good sharing... :)
ReplyDeletetu ar.. mmg panjang.. aku pun memaksa diri aku membacanya..
ReplyDelete